Ramadhan, Muhasabah & Kitab Al-Qur’an

26 Ramadhan

Beberapa hari sahaja lagi Ramadhan 1430 akan berakhir. Begitu cepat masa berlalu dan begitulah pendiknya kehidupan di dunia ini. Sedang kita berada di penghujung Ramadhan, seeloknya kita bermuhasabah dan bertanyakan diri; adakah Ramadhan tahun ini lebih baik daripada Ramadhan tahun lalu? Adakah objektif ibadah puasa Ramadhan untuk menjadikan diri kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa dapat dicapai serta meningkat pencapaian kualiti melebihi tahun-tahun yang lalu? Sama-samalah kita fikirkan perkara ini.

Di dalam bulan Ramadhan, kita banyak membaca Al-Qur’an. Bertadarrus dan majlis khatam Al-Qur’an sering dilakukan di surau mahupun masjid. Ya, Al-Qur’an adalah salah satu fokus di dalam bulan Ramadhan, yang mana ianya diturunkan pada bulan ini. Menghabiskan bacaan seluruh al-Qur’an pada bulan Ramadhan menjadi satu ukuran pencapaian bagi saya. Dengan membaca Al-Qur’an sahaja sudah mendapat ganjaran pahala dari Allah; namun Al-Qur’an menyuruh supaya memikirkan isi kandungannya. Untuk meningkatkan kualiti hubungan kita dengan Al-Qur’an, maka hendaklah kita bertaddabur, memikirkan dan mengambil pelajaran dari Kitab Al-Qur’an .

Sebagai seorang yang terlibat dengan penerbitan buku serta pernah berurusan dengan pelbagai bentuk pengarang , saya memikirkan penghasilan buku atau Kitab Al-Qur’an ini. Ya, Al-Qur’an adalah Kitab Allah. Penciptanya atau pengarangnya adalah Allah Ta’ala. Bukan nabi Muhammad s.a.w kerana beliau adalah seorang tidak boleh membaca. Juga kerana perkara berikut yang ingin saya ketengahkan.

Cuba kita baca makna atau terjemahan isi kandungan Al-Qur’an yang diturunkan lebih 1430 tahun yang lalu. Kita akan dapati Pengarang Kitab Al-Qur’an ini bersumpah, mencabar, membuat ketetapan, mengkhabarkan perkara yang lalu dan hadapan, membicarakan sekecil-kecil kejadian sehingga sebesar-besar alam semesta bulan dan bintang, menceritakan kisah umat dan masyarakat terdahulu, menjanjikan balasan baik dan buruk, membawa berita gembira dan sedih, menyediakan undang-undang dan sistem dan banyak aspek kandungan yang lain.

Terdapatkah pengarang seorang manusia yang mampu dan berani menghasilkan karyanya seperti Al-Qur’an yang membawa mesej seperti di atas. Pastinya tiada manusia yang mampu menghasilkan karya sama ada berbentuk cereka mahupun bukan cereka. Tiada manusia yang berani bersumpah dan membuat penegasan seperti yang terdapat di dalam Al-Qur’an kerana manusia itu sendiri adalah lemah dan terbatas. Belum lagi kita melihat Al-Qur’an dari aspek bahasa dan tatabahasa. Malah Allah mencabar bukan seorang manusia malah seluruh kejadian alam, manusia, Jin, dan keseluruhannya bersatu untuk mencipta seperti Al-Qur’an, sekiranya mampu. Yang pastinya tiada yang mampu dahulu, kini dan selamanya selain Allah. Firman Allah:

“Apakah pantas mereka mengatakan dia (Muhammad) yang telah membuat-buatnya? Katakanlah, “Buatlah sebuah surah yang semisal dengan surah (Al-Qur’an) dan ajaklah sesiapa saja di antara kamu orang yang mampu (membuatnya) selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar.” (Al-Qur’an:Yunus [10]:38).

Justeru, bila kita membaca ayat-ayat Al-Qur'an, perhatikanlah isi kandungannya dan yakinlah ianya adalah dari Allah, Pencipta kita.

No comments:

Post a Comment