Ujikaji Tumbuhan dan Pengajaran dari Anak Kecil

20 Rabiul Akhir, Taman Permata KL

Nur Sarah, anak saya yang berumur 8 tahun telah membuat ujikaji tumbuhan sebagai satu homework sekolahnya. Tiga biji kacang hijau digunakan dan diletakkan di dalam bekas minuman yang mengandungi kapas yang berasingan. Setiap bekas di diberikan kadar siraman air dan penerimaan cahaya matahari yang berlainan. Setelah beberapa hari, keputusan yang diperolehi adalah seperti gambar di bawah ini.



Ujikaji ini mengingatkan saya zaman persekolahan rendah dahulu, yang mana ujikaji seumpamanya dilakukan. Namun banyak pengajaran yang berupa kontemplasi mahupun peringatan dari ujikaji yang ringkas ini. Malah saya terkesan dengan kata-kata ulasan anak saya berhubung dengan hasil ujikaji ini.

Seperti biasa, pagi-pagi lagi Nur Sarah akan bergegas melihat tiga bekas minuman ujikaji. Telah 3 hari beliau berbuat begitu. Namun pagi ini beliau begitu gembira apabila melihat salah satu daripada bekas minuman tersebut, telah terjulang anak pokok kacang hijau yang telah berdaun. "Ayah-ayah, kacang hijau Nur Sarah dah tumbuh tinggi. Yang ini Nur Sarah berikan air dan letakkannya dekat dengan tingkap. Pokok ini akan besar nanti macam pokok betik di luar sana tu kan Ayah" Ucap Nur Sarah samacam berjenaka. " Kenapa yang dua ini belum lagi tumbuh ya Ayah?" Tanya Nur Sarah lagi. "Tentu sebab tidak cukup air dan cahaya kan Ayah" tambah Nur Sarah lagi. Saya hanya mengangukkan kepala sahaja sebagai bersetuju.



Sebagaimana yang saya nyatakan di atas, ujikaji yang simple tetapi ada pengajaran yang bermakna. Jika kita ibaratkan kacang hijau yang tumbuh tinggi sebagai satu contoh kehidupan, maka untuk hidup perlu ada disediakan segala ramuan dan formulasi sebagai satu usaha. Secara fitrahnya adalah begitu.

Justeru di dalam apa bidang sekalipun, perlu kita perhatikan usaha dan ikhtiyar yang perlu dilakukan. Ilmu dan formulasi yang benar hendaklah dijalankan. Akhirnya, Allah Ta'ala yang akan menentukan keputusan dan pencapaiannya.



"OK. Cuba Sarah lihat pokok kajang hijau ini." Bicara saya kepada anak saya. "Menanam biji benih kacang hijau adalah satu usaha Sarah lakukan. Inilah yang dinamakan usaha dan amal. Hasilnya adalah biji benih tersebut telah tumbuh dengan izin Allah".

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang lebih kurang bermaksud, sekiranya esok adalah hari Kiamat, pada hari ini kamu mempunyai anak benih tanaman, hendaklah kamu tanam anak benih tanaman tersebut. Begitu sekali gesaan untuk umat Muhammad s.a.w untuk berusaha sebagai salah satu bentuk ibadah kepada Allah Ta'ala. Allahu'aklam

1 comment: